Sunday 22 January 2012

BERSATU HATI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DALAM MENGHADAPI CABARAN HIDUP

BERSATU HATI AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DALAM MENGHADAPI CABARAN HIDUP

Oleh: USTAZ AHMAD FAIDZURRAHIM
Hp:019-9181278
Email: faidzurrahim@gmail.com
Blog:  http://ustaz-faidzurrahim.blogspot.com/

Assalamualaikum WarahMatullahi Wabarakatuh
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad Sallahu alaihi wasallam. Terdapat di sana satu hadis yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim, Musnad Ahmad dan Sunan al Kubro bahawa Nabi bersabda:
لا تَحَاسَدوا وَلا تَبَاغَضُوا وَلا تَدَابروا وَكونوا عِبَادَ اللهِ إخْوَانا
Maknanya: Janganlah sesama kamu saling berdengki, membenci dan berpaling, tetapi jadilah hamba Allah yang bersaudara.
Ketahuilah bahawa di antara penyakit-penyakit hati ialah sifat kebencian yang mana ianya sangat memberi kemudaratan dan kecelakaan yang besar. Jika umat Islam saling berdengki dan membenci antara satu sama lain maka mereka akan berhenti dan tidak akan bersemangat lagi untuk melakukan ketaatan, ibadah dan melakukan amru bin maaruf dan nah an munkar . Mereka akan lemah semangat dan malas untuk berdakwah dan mendedahkan kesesatan serta kekufuran golongan sesat. Sifat malas seperti ini adalah bercanggah dengan kebaikan dan ketaqwaan. Umat Islam jika berdengki dan membenci antara satu sama lain maka mereka juga malas untuk melakukan ketaqwaan dan kebaikan.
Manakala tadabur yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah memalingkan muka dari saudaranya yang muslim untuk menzahirkan bahawa dia amat membenci saudara seagamanya itu, atau dia memalingkan mukanya ke arah yang lain. Perbuatan ini adalah menyakiti jiwa seorang muslim dan memutuskan hubungan persaudaraan dalam Islam serta sama-sama mereka tidak melakukan kebaikan, ketaatan dan dakwah seperti membenteras kemungkaran. Dan juga akan menghasilkan natijah lain yang lebih buruk iaitu tidak melakukan amalan-amalan fardhu seperti menuntut ilmu agama fardhu ain.Cara mengatasi kemusykilan-kemuskilan ini adalah dengan melawan hawa nafsu kerana melawan nafsu dapat membantu untuk melakukan perkara-perkara baik yang boleh mendekatkan diri seorang kepada Allah Subhanahu Wataala. 

Para walil-wali Allah tidak akan sampai ke maqam dan martabat yang tinggi kecuali dengan melawan hawa nafsu. Diriwayatkan satu kisah pertemuan antara dua wali, salah seorangnya mendapati yang lain boleh duduk dan terbang di atas angin, lalu ditanya: Bagaimanakah kamu dapat melakukan sedemikiah? Lalu dia menjawab: Dengan melawan nafsu, yakni aku telah melawan nafsuku, aku telah jadikan nafsuku ini kalah dan dapat dikuasai dengan dilakukan segala amalan ibadah yang fardhu dan juga melakukan perkara-perkara sunat serta meninggalkan perkara-perkara yang haram. Dengan melawan nafsu sebeginilah Allah menganugerahkan kepadaku karamat ini.
Sesungguh jiwa itu sentiasa suka kepada kemalasan dan tidak semangat melakukan perkara-perkara ketaatan kerana dalam melakukan ketaatan itu kita terpaksa bersabar di atas beberapa perkara yang susah, misalnya ibadah sembahyang yang kadang-kalanya berlaku pada musim sejuk di negara-negara sejuk, maka seorang muslim itu payah dan tidak mahu menggunakan air untuk berwudhuk kerana kesejukan. Manakala seseorang yang ingin mendapat martabat yang tinggi dan keredhaan Allah maka dia pasti melawan nafsunya iaitu dia akan menggunakan air untuk berwuduk dan bersabar atas kesejukkan yang dihadapinya. Begitu juga dengan amalan ibadah puasa, kadangkalanya ia berlaku pada musim panas dan dalam keadaan yang sangat dahaga, tetapi ini dapat diatasi jika dia berjaya menmatahkan nafsunya dengan menahan dahaga. Dan begitu juga amalan-amalan ibadah yang lainyang lain.
Orang yang dalam kesakitan, kadangkala dia malas untuk melakukan solat dan juga ibadah-ibadah yang lain. Jika si pesakit tersebut melawan nafsunya untuk melakukan ibadah dalam keadaan dia sakit dan bercita-cita ingin mendapat keredhaan dari Allah Subhanahu Watala maka dia pasti menahan segala kepayahan. Begitu juga dengan keadaan seorang muslim yang melakukan kebaikan terhadap saudaranya yang muslim kemudian saudaranya itu membalas dengan keburukan, jika begini tindakannya maka kebiasaanya jiwa akan memaksa supaya memutuskan hubungan persaudaraan antara keduanya, jiwanya akan berkata-kata: Pulaukanlah serta tinggalkanlah dia kerana dia tidak membalas kamu dengan kebaikan sepertimana kamu lakukan kepadanya. Sedangkan firman Allah berbunyi:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ
Maknanya: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara(al Hujarat:10)

Para nabi ketika menyeru umat-umatnya kepada kebenaran, kebanyakan  umat mereka akan membalasnya dengan maki hamun dan tindakan yang tidak sewajarnya, tetapi para nabi tetap bersabar. Ada sebahagian umat yang kuffar telah memukul nabinya. Lihatlah nabi Nuh alaihi salam yang tinggal bersama kaumnya yang menyembah berhala selama 950 tahun, beliau menyeru mereka kepada Islam, tetapi umatnya telah membalasnya dengan pencelaan dan penindasan dan kadang-kala mereka memukul nabi mereka itu sehingga beliau jatuh pensan. Sepanjang masanya, beliau tidak mengubah halnya bahkan terus melakukan dakwah kepada mereka dan bersabar di atas keperitannya, kemudian Allah Taala mewahyukan kepada nabi Nuh bahawa mereka tidak akan beriman kecuali sedikit dari mereka iaitu lebih kurang 80 orang yang kebanyakannya dari kalangan kaum lelaki. Lalu nabi Nuh berdoa kepada Allah, kemudian Allah memerintah bumi agar mengeluarkan air maka air tersebut memenuhi bumi, kemudian ditambahkan lagi dengan turunnya air dari langit yang mana saiz setiap titisannya sebesar gunung, maka Allah Taala telah membinasakan kaum tersebut dan di akhirat nanti mereka juga akan mendapat azab yang lebih dahsyat.
Barangsiapa yang meneliti peninggalan-peninggalan dan sejarah para nabi seperti ini maka dia pasti akan bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan martabatnya di sisi Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan segala ketaatan-ketaatan dan ibadah.
Sesungguhnya menahan diri ketika marah juga adalah di antara cara untuk menyelamatkan diri dan agamanya kerana jika manusia mula marah maka dia akan bertindak untuk memudaratkan dan mencederakan orang lain dan kemungkinan dirinya akan tercedera.
Maka kesabaran di atas segala mala petaka dan musibah adalah di antara cara yang boleh melarang seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang haram dan juga terselamat dari terpengaruh dengan ajaran-ajaran songsang.
Wassalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Disediakan oleh: Tuan Blog

2 comments:

  1. Wa'alaikumussalam, saudara, semoga kita diberkati oleh Allah Taala dgn kita mencintai Junjungan besar Nabi Muhammad...Tq...

    ReplyDelete