SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Titah baginda itu disampaikan menerusi satu surat rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali bertarikh 11 Mac lalu bagi mengelakkan rakyat yang ber­agama Islam di negeri ini daripada terpengaruh dengan ajaran dan fahaman berkenaan.
Titah baginda menerusi surat rasmi itu disahkan oleh Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani di sini hari ini.
Baginda dalam surat rasmi tersebut yang dikeluarkan di Istana Mestika di sini turut menitahkan kerajaan negeri menarik balik lesen dan tanah selain tidak membenarkan universiti antarabangsa tersebut meneruskan pengajaran mereka di Selangor sekiranya perjanjian yang dibuat itu dilanggari.
“Rakyat Islam negeri Selangor mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah,” tegas baginda dalam surat rasmi yang turut disalinkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Sementara itu, Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima salinan surat baginda itu dan telah mengadakan perbincang­an di peringkat pengurusan majlis berkenaan pada 15 Mac lalu.
Jelasnya, Selangor telah memfatwakan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini yang telah berkuatkuasa pada 14 Februari 1998 kerana bercanggah serta menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah manakala fahaman Wahabi pula perlu dielakkan ke atas umat Islam di negeri ini bagi mengelakkan kekeliruan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan mereka.
“Kita bersetuju serta menjunjung sepenuhnya titah baginda selaku Ketua Agama Negeri supaya satu perjanjian rasmi diadakan di antara kerajaan negeri dengan pihak pengurusan universiti antarabangsa itu bagi memastikan tiada unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan fahaman Wahabi di nege­ri ini.
“Pihak MAIS juga selepas ini akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan universiti antarabangsa terbabit selain memberikan pandangan-pandang­an yang perlu bagi membendung ajaran Syiah dan fahaman Wahabi di negeri ini. Perjanjian tersebut pula akan dibuat antara kerajaan negeri dengan pihak pengurusan universiti antarabangsa berkenaan,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohamad Adzib turut menyatakan pihaknya menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan turut memantau perkara itu.