Monday 6 February 2012

SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?

 SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH?

Oleh: USTAZ AHMAD FAIDZURRAHIM
Hp:019-9181278
Email: faidzurrahim@gmail.com
Blog: http://ustaz-faidzurrahim.blogspot.com/

Ahli Sunnah Wal Jama`ah adalah majoriti umat Islam. Mereka adalah dari kalangan para sahabat dan juga orang yang mengikut pegangan dan manhajnya dalam enam perkara yang telah disebut dalam hadis nabi, iaitu:

"الإِيْمَانُ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلآئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ".
Maksudnya:
Iman adalah beriman dengan Allah, para malaikat-Nya kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat dan beriman dengan qadar baik dan buruknya.
                                                               [Diriwayatkan oleh Imam Muslim]

Ahli Sunnah Wal Jama`ah adalah golongan yang terselamat, sesiapa yang keluar darinya maka dia tidak akan terselamat dari mendapat balasan neraka jahanam di akhirat kelak. Antara golongan yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jama`ah ialah Muktazilah, Khawarij, Syiah, Ahmadiah Qodyaniah, Musyabbihah, Wahhabiyyah, Hizbut Tahrir tarekat sesat dan lain-lain.

Ahli al-Sunnah membawa maksud bahawa mereka yang mengikut dan berpegang dengan pagangan Nabi atau jalan hidup Nabi. Manakala Al-Jama`ah ialah para sahabat, terutama sekali para Khulafa al-Rasyidin dan semua umat Islam (majoriti umat Islam). Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama`ah merangkumi ajaran-ajaran Islam iaitu aqidah, syariah dan akhlak seperti yang dibawa dan dijelaskan oleh junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, kemudian disambung penyebarannya oleh para sahabat, kemudian disusun secara bersistematik dan teratur oleh dua tokoh yang hebat iaitu Imam Abu al-Hasan al-Asy`ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Kemudian penyebaran sebegini  diteruskan oleh para ilmuan Ahli Sunnah Wal Jama`ah seperti al-Hafiz Abu Bakar al-Isma`ili, al-Hafiz al-Baihaqi, al-Hafiz Ibnu Hajar al-`Asqalani, seorang mujaddid pada kurun keempat Imam Abu Tayyib al-Bahili, Imam Abu Bakar bin Furak, Imam Abu Bakar al-Baqillani, Imam Abu Ishaq al-Asfarayini, al-Hafiz al-Asfahani, Imam al-Haramain al-Juwaini, al- Hafiz al-Syirazi, al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi, Al-Hafiz al-Subki, al-Hafiz Ibnu al- Jauzi( Bukan Ibnu Qayyim al Jauziyyah. Kerana beliau  banyak membawa penyelewengan kerana terpengaruh dengan gurunya yang  sesat iaitu Ibnu Taimiyah.), Imam al-Murtadha al- Zabidi, Syeikh Ahmad Zaini Dahlan mufti mazhab Syafi`i di Makkah, Syeikh al-Azhar Abdullah al-Syarqawi, Syeikh al-Sanusi, Syeikh al-‘Alalawi bin Tahir al-Haddad, al-Hafiz Abdullah al- Ghummari, al Hafiz Sayyid Alawi al Maliki al-Makki, al-Marhum al-Muhaddith Syeikh Abdullah al- Harari dan ramai lagi. Di kalangan ulamak Nusantara pula ialah syeikh Ibrahim al-Banjari, syeikh Nawawi al-Bentani, Syeikh Daud al-Fathani, Syeikh Abdul Samad al- Falembani, Syeikh al-Muhaddith Yasin al-Fadani dan ramai lagi. Kesemua mereka ini telah  berpegang dengan kaedah al-Asy`ariyyah atau al Maturidiyyah dalam menjelaskan aqidah Ahli Sunnah Wal Jama`ah. Kerana ini seorang ulama` iaitu Al Hafiz Murtadha Al Zabidi (W. 1205 H) telah berkata:

"إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُّنَّة وَالْجَمَاعَةِ فَالْمُرَادُ بِهِمْ الأَشَاعِرَة والْمَاتُرِدِيَّة".

Maksudnya:
Apabila disebut Ahlu Sunnah Wal Jama`ah maka yang dimaksudkan dengan mereka ialah Al Asya`irah dan Al Maturidiyyah (Kitab Itthaf Sadat al- Muttaqin, jilid 2, m/s 6.)
 Akidah Ahli Sunnah Wal Jama`ah adalah akidah bagi semua umat Islam yang mengikut jejak langkah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam yang mana baginda telah bersabda:

 “Dua perkara yang akan aku tinggalkan kepada kamu sekalian jika kamu semua berpegang dengannya pasti tidak akan sesat selama-lamanya , iaitu Kitabullah (al Quran ) dan sunnahku (syariat dan akidah ). ”(Kitab al Mustadrak karangan al-Hakim, Sunan al Kubra karangan al-Baihaqi). 

Atas dasar inilah golongan Ahli Sunnah berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di atas muka bumi dengan cara mentanzihkan Allah tabaraka wata`ala daripada sifat-sifat makhluk dengan berpandukan firman Allah ta`ala:
"Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan-Nya dan Dia Maha mendengar lagi Maha melihat".
              
                                                                                          (Surah Al-Syura : 11(

Terdapat hadis sahih yang telah menceritakan kebenaran pegangan Imam al- Asy`ari yang mana beliau adalah cucu kepada seorang sahabat nabi iaitu Abu Musa al-Asy`ari, ketika turunnya ayat ini:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa antara kamu murtad dari agamanya, maka Allah akan datangkan suatu kaum yang dicintai oleh Allah dan mereka pula mencintainya, yang bersifat lemah lembut terhadap orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang kafir. Mereka berjihad(berjuang bersungguh-sungguh) pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Allah maha Luas limpah kurniaan-Nya, lagi Maha Mengetahui”.

           (Surah Al-Maidah : 54)

Al-Hafiz Ibn `Asakir meriwayatkan dalam kitabnya Tabyin Kadzibi Al-Muftari dan al-Hakim meriwayatkan dalam kitabnya al-Mustadrak sebab turun ayat di atas:

"لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَوْفَ يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبٌّونَهُ} قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (هُمْ قَوْمكَ يَا أَبَا مُوسَى) وَأَوْمَأَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِي".
Maksudnya:
“Tatkala ayat {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} turun, lalu Rasulullah sallallahhu`alaihi wasallam bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah sallallahhu`alaihi wa-sallam menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa al Asy`ari”.

Al-Hakim menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih `ala Sahih Muslim. Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa`d dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab al-Mu`jam al-Kabir. Al-Hafiz al-Haithami berkata dalam kitabnya Mujma’ al--Zawa’id bahawa rijal hadis tersebut rija al-shahih.

Al-Imam al-Qurtubi berkata dalam kitab tafsirnya jilid. VI, halaman. 220: “Imam Al-Qushayri berkata:

“Maka para pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka maksudnya ialah para pengikut”.

Berkaitan dengan hadis yang semakna dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz (هم قوم هذا) yang mafhumnya: “Mereka adalah kaum lelaki ini” sambil Nabi sallallahu`alaihi wasallam mengisyarat tangannya kepada Abu Musa al-Asy`ari." Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam  bersabda:
"هم قوم هذا".
Mafhumnya:

"Mereka adalah kaum orang ini."      

                                    [Diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak]

Oleh yang demikian, hadis ini adalah busyra (berita gembira) bagi seluruh pengikut Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah bahawa mereka sesuai dengan aqidah Rasulullah, maka berbahagialah orang yang sentiasa mengikuti jalan mereka. Aqidah Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah adalah aqidah kaum muslimin dari kalangan al-Salaf dan al-Khalaf, aqidah para khalifah dan Sultan seperti Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al-Fatih.

Al-Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda tentang Abu Musa Al-Asy`ari dan kaumnya.
            Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam  bersabda:
"هم مني وأنا منهم".
Mafhumnya:
"Mereka dariku dan aku dari mereka". 
                 (Diriwayatkan oleh Al-Imam al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari : Kitab Al-Maghaziy, Bab Quduum al-Asy`ariyyun Wa Ahlal-Yaman (bab kedatangan al-Asy`ariyyun dan orang Yaman).      
                                      
Maka dapat difahami daripada hadis ini, bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menegaskan kaum Abu Musa Al-Asy`ari merupakan kaum yang dikasihi Allah ta`ala dan mereka mengasihi Allah Ta`ala kerana keshohihan pegangan agama mereka dan kekuatan keyakinan mereka dan semangat mereka dalam memperjuangkan akidah yang haq dan menghapuskan kebatilan. Maka tidak hairanlah, Abu al-Hassan Al-Asy`ari mendapat ketinggian menjadi ketua Ahli Sunnah Wal Jama`ah pada zamannya dan sehingga hari kiamat. Beliau keturunan Abu Musa Al-Asy`ari iaitu salah seorang sahabat Nabi sallallahu`alaihi wasallam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah ta`ala dan Rasul-Nya. Justeru, sebahagian ulama` berpendapat keberkatan ini berkemungkinan kerana tepukan tangan Nabi sallallahu`alaihi wasallam ke bahu Abu Musa Al-Asy`ari radhiyallahu`anhu.
Justeru, mesti ada di sana pendedahan dan penjelasan rapi tentang pegangan Ahli Sunnah Wal Jama`ah. Insya Allah terjemahan dan penyusunan ini dapat membantu dalam menjelaskan sedikit sebanyak pegangan dan akidah Ahli Sunnah Wal Jama`ah.Kita sentiasa memohon kepada Allah supaya berkekalan dalan Akidah AhliSunnah Wal Jamaah di bawah pimpinan Imam al-Asyari dan Imam Abu Mansur al-maturidi.
Disediakan oleh:
USTAZ AHMAD FAIDZURRAHIM
Hp:019-9181278
Email: faidzurrahim@gmail.com
Blog: http://ustaz-faidzurrahim.blogspot.com/