Monday, 29 June 2015

TAZKIRAH-TAZKIRAH AKIDAH DI BULAN RAMADHAN BERSAMA USTAZ AHMAD FAIDZURRAHIM

Bertarikh 1-7-2015 Hari Rabu
1- Tazkirah zohor.
Lokasi: Surau Falkulti Perubatan Dan Sains Kesihatan UPM Serdang.
Waktu: 12.30 Tengahari.
2- Tazkirah Taraweh,
Lokasi: Masjid Bukit Antarabangsa Hulu Kelang Ampang Selangor.
-SEMUA DIJEMPUT HADIR-



ISU KEADAAN IBU BAPA NABI MUHAMMAD DARI HURAIAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

ISU KEADAAN IBU BAPA NABI MUHAMMAD DARI HURAIAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Suka hatinya penulis di sini menukilkan apa yang berkaitan dengan tajuk dari al-Hafiz al-Faqih al-`Arif Billah Sheikh Abdullah al-Harari al-Habasyi di dalam beberapa kitabnya antaranya kitab "Bughyah at-Thalib", hal.149:
قال الإمام أبو حنيفة رضي الله عنه "والِدا الرسولِ ما ماتا كافِرَين" لكن بعضُ النُّسَّاخ حرّفوا فكتبوا ماتا كافِرين وهذا غلط شنيع.
Maknanya: " Imam Abu Hanifah (dalam kitabnya al-Fiqh al-Akbar) berkata bahawa ayahanda dan ibunda Rasulullah صل الله عليه وسلم tidak meninggal dunia sebagai kafir". Tetapi sesetengah pencetak kitab mengubahnya, lalu mereka menulis:
ماتا كافرين
maknanya: "mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan kafir". Ini adalah kesalahan yg amat keji.

Berkata Sheikh Abdullah al-Harari lagi:
نحن لا نقول ماتا كافرَين إذ لا مانع من أن يكونا أُلهِما الإيمانَ بالله فعاشا مؤمنين لا يَعبُدان الوَثَن. أمّا حديث "إنّ أبي وأبَاكَ في النّار" فهو حديثٌ معلولٌ وإن أخرجه مسلم. في مسلم أحاديثُ انتقدَها بعض المحدّثين وهذا الحديث منها
Maknanya: “Kita tidak berpendirian bahawa keduanya mati sebagai kafir kerana tiada halangan untuk mengatakan bahawa keduanya diilhamkan iman kpd Allah, lalu hidup mereka sebagai orang Mukmin dan keduanya tidak menyembah berhala (bahkan ayahanda dan bonda Rasulullah adalah insan yg beriman dan mentauhidkan Allah serta berpegang teguh dgn Agama Hanif iaitu ajaran Nabi Ibrahim alaihissallam). Adapun hadith yg berbunyi:
إن أبي وأباك في النار
Terjemahannya: "Sesungguhnya ayahku dan ayahmu berada di dalam neraka". Hadith ini berstatus ma`lul (hadith dhoif) walaupun ia diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Dan di dalam Sahih Muslim terdapat beberapa hadith yg dikritik oleh ulama al-Huffaz (ulama hadith). Hadith ini salah satu darinya.
Syeikh al-Harari berkata lagi:
. وأمّا حديث: إن الرسولَ مكثَ عند قبر أمّه فأطال وبكى فقيل له: يا رسول الله رأيناك أطلْتَ عند قبرِ أمّكَ وبكَيْتَ فقال "إنّي استأذَنتُ ربّي في زيارتها فأذِن لي وطلَبتُ أن أستغفر لها فمنعني" هذا الحديث أيضًا في مسلم وهذا الحديثُ مؤوّل بأن يقالَ إنّما منَعَه من أن يستغفرَ لها حتى لا يلتبس الأمر على الناس الذينَ مات ءاباؤهم وأمّهاتُهم على عبادة الوَثن فيستغفروا لآبائِهم وأمّهاتِهمُ المشركينَ لا لأنّ أمَّ الرسولِ كانت كافرةً، وهكذا يُرَدُّ على الذين أخذوا بظاهر الحديث فقالوا إنّ والدةَ الرسولِ مُشركةٌ لذلك ما أُذِنَ له بأن يستغفر لها،

Maknanya: “Adapun hadith yg berbunyi: "Sesungguhnya Rasulullah duduklama di sisi kubur ibunya lalu dia menangis. Apabila dikatakan kepadanya; Wahai Rasulullah, kami telah melihat kamu telah duduk lama berada di kubur ibumu dan kamu telah menangis. Maka Nabi  telah bersabda:
"إنّي استأذَنتُ ربّي في زيارتها فأذِن لي وطلَبتُ أن أستغفر لها فمنعني
Mafhumnya: "Sesungguhnya aku telah meminta kebenaran dari Tuhanku untuk menziarahi kuburnya (Ibunda Nabi), maka Dia telah membenarkanku. Dan aku memohon dari-Nya untuk berdoa bagi memohon keampunan daripada Allah kepadanya lantas Dia menegahku".
Hadith ini juga terdapat di dalam [Sahih] Muslim. Hadith ini ditakwil (dipalingkan maknanya) seperti  dikatakan: "Sesungguhnya Allah menegahnya dari beristighfar (meminta ampun) bagi ibunya supaya tiada berlaku kesamaran atau kecelaruan kepada orang lain yang ibubapa mereka sudah meninggal dunia sedang mereka menyembah berhala lantas mereka beristigfar untuk ibubapa mereka yang musyrik, bukan kerana Ibu Rasulullah dianggap sebagai  kafir (kerana ibu Baginda tidak menyembah berhala).
Dan begitulah disangkal mereka yg mengambil zahir hadith tersebut yang mana mereka berkata; "Sesungguhnya ibu Rasulullah adalah seorang yang musyrik (menyekutukan ALlah dalam penyembahan) kerana itulah dia tiada diberi keizinan untuk meminta keampunan baginya".
Sheikh al-Harari berkata lagi:
والدليلُ على أنّ أمَّه كانت مؤمنةً أنها لما ولدته أضاء نورٌ حتى أبْصَرت قصورَ الشام وبين المدينة والشام مسافةٌ بعيدةٌ، رأت قصورَ بُصرَى وبُصْرى هذه من مدُن الشام القديمةِ وهي تُعَدّ من أرضِ حَوران مما يلي الأردن. فأمّه عليه السلام رأت بهذا النّور الذي خرجَ منها لما ولدتهُ قصورَ بُصرَى وهذا الحديثُ ثابتٌ رواه الحافظ ابنُ حجرٍ في الأماليّ وحسّنه، ورؤيةُ ءامنة لقصور بُصرَى يُعَدُّ كرامةً لها لأن هذا خارق للعادة.
Maknanya: “Dalil yg menunjukkan ibu Rasulullah adalah seorg yg beriman ialah sesungguhnya ketika mana dia melahirkan Rasulullah صل الله عليه وسلم maka keluar suatu cahaya yg bersinar hingga ia menerangi istana-istana di bumi Syam (Syria). [sudah menjadi perkara yg maklum] bahawa jarak dari Mekah ke Syam adalah suatu jarak yang sangat jauh. Ibunya melihat istana Bushra. Bushra berlokasi antara kota-kota Syam yang lama dan ia dikira antara bumi Hawran yang terletak selepas negara Jordan. Ibunya صل الله عليه وسلم melihat istana-istana Bushra dengan bantuan cahaya yang keluar darinya ini tatkala melahirkan Rasulullah صل الله عليه وسلم. Hadith ini adalah thabit diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam kitabnya "al-Amaliy" dan dia menghukumnya sebagai hadith yg hasan (elok). Penglihatan Aminah Ibunda Rasulullah kepada istana-istana Bushra dikira karomah baginya kerana perkara sebegini adalah suatu yg mencarik adat”.
Berkata Sheikh al-Harari lagi:
مسلم لما ألّف كتابه صحيح مسلم عرضه على بعض الحفاظ فأقرّوه كله إلا أربعة أحاديث، هو قال هذا في خطبة كتابه ولم يسم تلك الأربعة ولم يذكرها والبخاري ضعف حديثين من أحاديث مسلم قاله الحافظُ ابن حجر.

Makananya:   “Imam Muslim pula ketika mengarang kitabnya "Sahih Muslim", dia membentangkannya kepada setengah para al-Huffaz lalu mereka memperakuinya kesemuanya hadith tersebut, melainkan 4 buah hadith sahaja. Dia menyatakan perkara ini di dalam khutbah kitabnya pada muqaddimah kitabnya, tanpa menamakan 4 buah hadith tersebut dan tidak pula menyebutkannya. Imam al-Bukhari telah melemahkan dua buah hadith dari hadith-hadis Muslim. Perkara ini disebut oleh Ibn Hajar al-Asqolani”.
Berkata Sheikh al-Harari lagi:
ثم على فرض أنهم لم يكونا مسلمين فهما من أهل الفترة وأهل الفترة الذين ما بلغتهم دعوة الأنبياء السابقين لا يعذبون في الأخرة. قال الله تعالى (( وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا)) وعلى هذا جمهور العلماء الأشاعرة وغيرهم.
Maknanya: “Kemudian andaikata mereka bukan tergolong daripad orang-orang Islam, maka mereka berdua [boleh dikatakan] tergolong dari ahl al-fatrah. Ahlu al-fatrah yang tidak sampai kepada mereka dakwah Islam dari para Nabi yang terdahulu, yang tidak akan sekali-kali diazab di akhirat kelak. Allah Ta'ala berfirman [di dalam surah al-Isra'] :
وما كنا معذبين حتى نبعث رسولا
Maknanya: "Dan kami tidak akan di'azab sehinggalah diutuskan kepada kami seorang rasul".
Pendapat sebegini adalah pendapat jumhur ulama (majoriti ulama) dari golongan al-Asya`irah dan selainnya” Intaha.

Huraian seumpama ini ada disebut oleh al-Baijuri dalam kitabnya "Tuhfah al Murid `ala Jauhar al-Tauhid", hal.68.

Sunday, 7 June 2015

PENJELASAN NISFU SYAABAN DARI KACAMATA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

PENJELASAN NISFU SYAABAN DARI KACAMATA AHLI SUNNAH WAL JAMAAH
Disediakan oleh: al-Faqir AHMAD FAIDZURRAHIM
MUKADIMAH
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, Yang Wujud tanpa tempat dan arah serta tidak diliputi masa. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dan ke atas kaum keluarganya serta para sahabatnya.
Sesungguhnya manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan umat Islam. Mana-mana fahaman yang bertentangan dengannya seperti Wahabi, Syiah, Hizbut tahrir dan selainnya maka mestilah ditolak. Antara pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah:
'ALLAH WUJUD TANPA TEMPAT'
Ketahuilah bahawasanya bulan Sya’aban mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Junjungan besar Nabi kita apabila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya diangkat amalan-amalan kepada Allah. Maka Nabi ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. Hadis Nabi dari Usamah bin Zaid yang berbunyi mafhumnya:

عن أسامة بن زيد قال: قلت يا رسول الله لم أرك تصوم شهرا من الشهور ما تصوم من شعبان قال ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم ". رواه النسائي.
Maknanya: “Aku(Usamah) berkata: Wahai Rasulallah!, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan pada bulan-bulan yang lain kecuali engkau berpuasa di bulan Syaaban. Baginda bersabda: Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya diangkat amalan-amalan kepada Allah, maka saya inginkan amalan saya diangkat dalam keadaan saya berpuasa”.
Ibarat kata sebahagian Ulama’:
“Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.”.
Begitu juga sebahagian alim ulamak menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta keampunan daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan. Manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan.
Antara amalan sunat yang paling baik dan digalakkan di bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah.
Diriwayatkan bahawa keadaan di zaman Salafus Soleh, apabila tibanya bulan Syaaban adalah seperti berikut:

إنَّهُمْ كَانُوا إِذَا دَخَلَ شَهْرُ شَعْبَانَ، أَقْبَلُوا عَلَى مَصَاحِفِهْمِ فَقَرَأُوهَا، وَأَخْرَجُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ لِيُعِينُوا غَيْرَهُمْ عَلَى طَاعَةِ اللهِ فِي رَمَضَانَ. وَتَرَكُوا الْكَثِيرَ مِنْ مَشَاغِلِ الدُّنْيَا، وَأَخَذُوا يَسْتَعِدُّونَ فِيهِ لاِسْتِقْبَالِ شَهْرِ رَمَضَانَ، وَأَكْثَرُوا فِيهِ مِنَ الصِّيَامِ وَالذِّكْرِ وَالْقِيَامِ، وَكَانُوا يَقُولُونَ عَنْ شَهْرِ شَعْبَانَ إِنَّهُ شَهْرُ الْقُرَّاءِ.
Maknanya: “Sesungguhnya apabil tiba bulan syaaban mereka berlumba-lumba mendapatkan mushaf dan membacanya, dan mereka mengeluarkan zakat untuk membantu orang lain dalam melakukan ketaatan kepada Allah pada bulan Ramadhan nanti, dan mereka meninggalkan banyak dari urusan dunia dan membuat persediaan untuk sambutan bulan Ramadhan, bahkan mereka memperbanyakkan puasa, zikir dan qiyam, mereka menggelarkan bulan syaaban dengan bulan pembaca al-Quraan”.

عن عائشة رضي الله عنها قالت:" كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصوم حتى نقول لا يفطر، ويفطر حتى نقول لا يصوم، وما رأيتُ رسول الله صلى الله عليه وسلم استكمل صيام شهر إلا رمضان، وما رأيته أكثر صياماً منه في شعبان". أخرجه البخاري في الصيام، باب: صوم شعبان، ومسلم في الصيام.
Maknanya: Dari Aisyah berkata:
"Sesungguhnya Rasulullah apabila berpuasa maka kami akan berkata bahawa baginda apabila berpuasa maka seolah-olah tidak pernah berbuka, dan apabila baginda berbuka maka seolah-olah baginda tidak pernah berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah menyempurnakan puasa sebulan kecuali di bulan ramadhan, dan aku melihat baginda banyak berpuasa sunat di bulan syaaban".
وعن عائشة رضي الله عنها قالت: "كان أحبَّ الشهور إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يصومه شعبانُ ثم يصله برمضان". أخرجه أحمد في المسند، وأبو داود في الصوم، باب في صوم شعبان ، والنسائي في الصيام، باب: صوم النبي صلى الله عليه وسلم ، وقال الحاكم: "صحيح على شرط الشيخين"
Maknanya: Dan dari Aisyah berkata:
"Sesungguhnya antara bulan-bulan yang disukai oleh Rasulullah untuk berpuasa padanya adalah bulan Syaaban, kemudian beliau menyambungnya pada bulan ramadhan”.

 MALAM NISFU SYA’ABAN
Antara keistimewaan bulan Sya’ban adalah terdapat satu malam yang mana Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan keistimewaan dan keberkatan pada malam tersebut, iaitu malam Nisfu Sya’ban (malam pertengahan bulan Nisfu Sya’ban). Hal ini ada dikhabarkan oleh  Rasulullah Sollollahu alaihiwasallam dalam sabdanya:
 "إذا كانت ليلة النصف من شعبان فقوموا ليلها وصوموا نهارها" رواه ابن ماجه
Maksudnya: “Jika tiba malam Nisfu Sya’ban maka dirikanlah solat malam dan berpuasalah pada keesokan harinya”
 (HR. Ibnu Majah).
Sabda Rasulullah Sollollahu alaihiwasallam ini menunjukkan akan keistimewaan malam pertengahan bulan Sya’ban (Nisfu Sya’ban). Rasulullah Sollollahu alaihiwasallam menyarankankan kepada umatnya agar mengisi pada malam tersebut dengan ibadah solat di waktu malam, puasa  pada keesokan harinya dan juga dengan memperbanyakan zikir-zikir serta mengingati kematian, mengingati hari kebangkitan dari kubur dan hari perhitungan (hisab) semua amalan–amalan manusia, di mana orang-orang yang beriman dan bertaqwa akan beruntung dan orang yang kufur dan zalim akan rugi.
Berkaitan dengan tajuk ini, ada seperkara yang wajar disebutkan di sini berkaitan dengan sambutan malam Nisfu Syaaban, terdapat beberapa pihak yang lantang mempertikaikan sambutan ini  kononnya berhujjahkan bahawa sambutan sebegini tidak pernah berlaku di Zaman Rasulullah, bahkan mereka menghukum sambutan tersebut sebagai perkara bidaah yang sesat dan perkara baru dalam agama yang mana pelakunya layak dihumban ke dalam neraka. Sesungguhnya menghidupkan malam Nisfu Syaaban tidak hanya dilakukan di tanah air kita sahaja, bahkan al-Azhar yang dianggap rujukan ilmu agama yang tertua sekali di atas muka bumi ini juga meyambut dan memperingati malam Nisfu Syaaban bahkan seluruh dunia Islam menyambutnya. Keutamaan malam nisfu syaaban juga dijelaskan oleh imam al-Ghazali di dalam kitabnya 'Ihyak Ulumiddin'. Namun menyedihkan kita terdapat pihak-pihak yang membenci amalan Islam sering menyalahi mejoriti umat Islam yang menyambut malam Nisfu syaaban. Yang sering mempertikai hal ini ialah golongan songsang yang menyimpang dari jalan yang benar iaitru golongan dinamakan sebagai 'WAHABI' yang sering mengkafirkan umat Islam dari dulu smpai sekarang
Imam Syafei pernah berkata:
المحدثات من الْأُمُور ضَرْبَان أَحدهمَا مَا أحدث يُخَالف كتابا أَو سنة أَو اجماعا أَو أثرا فَهَذِهِ الْبِدْعَة الضَّلَالَة وَالثَّانِي مَا أحدث من الْخَيْر لَا خلاف فِيهِ لوَاحِد من هَذَا فَهِيَ محدثة غير مذمومة
Maknanya: Perkara baru terbahagi kepada dua, apa yang dicetuskan dan bercanggah dengan kitab atau sunnah atau ijmak atau atsar maka ini adalah bidaah yang sesat, manakala yang kedua ialah apa yang dicetuskan dari kebaikan dan tidak bercanggah dengan salah satu sumber yang dinyatakan tadi maka ia bukanlah perkara baru yang dicela”.
(Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Manaqib al-Syafei)
Antara amalan yang disarankan pada malam nisfu Syaaban ialah membaca surat yasin sebanyak 3 kali dengan bacaan yang betul serta dengan niat yang ikhlas. Amalan ini adalah perbuatan yang sangat baik, dan sesiapa yang membacanya dengan penuh keikhlasan maka akan mendapat pahala dari Allah ta’ala. Namun perlu diketahui bahawa hakikatnya tidak ada satu hadis pun yang menjelaskan bahawa perbuatan membaca surah yasin pada malam tersebut secara khusus adalah sunnah. Tetapi ia sama sekali tidak dilarang untuk dilaksanakannya.
Berkaitan dengan kelebihan bacaan surah Yasin pada malam nisfu Syaaban adalah berdasarkan beberapa saranan dari ajaran Islam agar memperbanyakan doa dan beribadah pada malam tersebut.  Sabda Rasulullah, mafhumnya: 
 ‘ Yasin adalah satu pertiga al-Quraan, tidaklah membacanya seseorang  yang menginginkan Allah dan kehidupan hari akhirat kecuali Allah  memberi keampunan baginya, bacakanlah Yasin itu atas orang yang meninggal dunia di antara kalian’. Hadisdi riwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu hibban serta beliau mensahihkannya.

Imam Sayfei  berkata di dalam kitab al-Um:
: وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ: إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِي خَمْسِ لَيَالٍ فِي لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ، وَلَيْلَةِ الأَضْحَى، وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ، وَأَوَّلِ لَيْلَةٍ مَنْ رَجَب، وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ
Maknanya: “Telah sampai kepada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa mustajab pada lima malam, pada malam jumaat, pada malam aidil adha, pada malam aidilfitri, pada awal malam dari bulan rejab dan pada malam nisfu syaaban”.
 Dan diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda:
يطـلع الله إلى جميع خلقـه ليلـةالنصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن " 
Maknanya: “Sesungguhnya  Allah menetapkan keistimewaan bagi para hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, lalu Dia mengampuni semua makhluk-Nya kecuali orang musyrik dan orang yang bermusuhan benci dengki sesama muslim dalam urusan dunia”.
Ada sebahagian alim ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah menyebut: “Di antara keistimewaan surah Yasin menurut sebahagian ulamak adalah dibaca pada malam nisfu Syaaban sebanyak tiga kali, yang pertama dengan niat dipanjangkan usia, yang kedua dengan niat dihindari dari musibah dan bencana, dan yang ketiga dengan niat tidak bergantung kepada manusia”.  Ini semua menjadi bukti kukuh akan keharusan bacaan surah Yasin pada malam nisfu Syaban berdasarkan saranan memperbanyakan berdoa dan beribadah pada malam tersebut. Maka tak perlu dilayan pandangan songsang  golongan Wahabi yang mengkafirkan orang Islam yang membaca yasin pada malam Nisfu Syaaban.

 DOA PADA MALAM NISFU SYA’ABAN TIDAK MENGUBAH
TAKDIR ALLAH
Ketahuilah bahawa takdir Allah tidak berubah, kerana takdir-Nya bersifat azali, tiada sesuatu pun yang boleh mengubahnya, samaada doa orang yang berdoa, sedekah orang yang melakukan sedekah, ibadah solat yang dilakukan oleh orang yang menunaikan solat atau selainnya dari kebaikan dan ketaatan. Apabila sesoarang itu telah ditetapkan agar ditimpa ke atasnya musibah maka pasti musibah itu akan menimpanya walau pun dia bersedekah, berdoa, mengeratkan hubungan silaturrahim dan selainnya dari kebaikan. Inilah pegangan sebenar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Maka seorang mukmin tidak harus beriktiqad jika dia berdoa atau melakukan amalan kebaikan maka dia terselamat dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah baginya.
Menyedihkan kita terdapat segelintir masyarakat Islam menganggap bahawa takdir Allah boleh berubah dengan doa pada waktu malam Nisfu Syaaban. Dalam hal ini perlu dijelaskan akan pembahagian taqdir. Ketahuilah bahawa Qadar (taqdir Allah) ada dua jenis, pertama qadar mubram dan kedua qadar muallaq, kedua-dua jenis qadar ini tidak berubah dan tidak ada sesuatu yang mengubahnya.
1-Taqdir Mubram bermaksud ketentuan Allah yang tidak berubah, tidak ada sesuatu pun yang mampu mengubahnya.
2-Manakala Qadar (taqdir) Muallaq juga tidak berubah dan ia bermaksud takdir yang diikatkan dengan sesuatu yang lain. Iaitu tergantung pada kitab-kitab tulisan para malaikat yang mana para malaikat tersebut menukilkannya dari lauhul mahfuz, maka tertulis contohnya si fulan jika dia mengeratkan hubungan silaturrahim atau melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapanya atau berdoa dengan doa tertentu maka dia akan hidup sampai umur seratus tahun dan dianugerahkan kepadanya rezeki dan kesihatan. Dan bukan bermaksud taqdir Allah yang azali yang mana ia adalah sifat-Nya tergantung mengikut perbuatan si fulan tersebut atau doa si fulan tersebut. Atau dengan contoh yang lain disebut bahawa si fulan telah ditetapkan hidup sampai umur 60 tahun sahaja, tetapi jika dia melakukan kebaikan seperti berdoa, atau mengeratkan hubungan silaturrahim atau selainnya dari kebaikan maka akan dipanjangkan usianya hingga seratus tahun. Semua itu telah ditakdirkan dan ditetapkan oleh Allah Taala, dan ketetapan itu telah termaktub di Lauhul Mahfuz. 
Seperkara yang sangat penting yang perlu dinyatakan di sini berkaitan dengan tradisi  sebahagian masyarakat Islam di sebahagian Negara Islam pada malam nisfu Sya’ban, iaitu berkaitan dengan do’a yang sering dibaca pada malam tersebut. Mereka mendakwa dengan sekadar membaca Do’a tersebut maka boleh mengubahkan taqdir Allah Taala. Hal ini perlu diperbetulkan kerana ia berkaitan dengan masalah tauhid atau keimanan terhadap taqdir Allah ta’ala. Lafaz Doa itu adalah sedemikian:
اَللّهُمَّ ِإنْ ُكْنتَ َكَتْبتَنِي ِفىْ أُمِّ اْلِكَتاِب َمْحُرْومًا أَوْ َمْطرُوْدًا أَوْ ُمقَتَّرًا عَلَيَّ فِي الرّزْقِ فَامْحُ أَللَّهُمَّ بِفَضْلِكَ شَقَاوَتِي وَحِرْمَاِني وَطَرْدِي وَإِقْتَارَ رِزْقِي 
Terjemahannya: “Ya Allah, jika Engkau telah menetapkan aku dalam kitab-Mu sebagai orang yang terhalang, yang tersingkir atau yang yang terputus rezekinya. Maka hapuskanlah ia Ya Allah dengan limpahan-Mu akan kesengsaraan, halangan, singkiran dan kekurangan rezekiku…”.
 Sesungguhnya berkaitan dengan riwayat doa ini para alim ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah menjelaskan bahawa doa tersebut  adalah tidak benar sama sekali dan bukan dari riwayat Saydina Omar seperti yang didakwa oleh sebahagian pihak. Bahkan pernah dinyatakan oleh Imam al-Hafiz al-Baihaqi bahawa doa tersebut sebenarnya bukan dari Saydina Omar, beliau menyebut isu ini di dalam kitabnya yang sangat masyhur membicarakan bab taqdir yang berjudul 'al-Qadar', bahkan Imam al-Baihaqi menyebut juga doa tersebut bukan dari Mujahid, ianya hanya diriwayat dalam beberapa kitab tapi hakiktanya ia bukan dari Saydina Omar mahu pun dari Mujahid. Mereka yang menganggap dengan membaca doa tersebut maka taqdir Allah boleh berubah-ubah amatlah bertentangan dengan pegangan alim Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang hakiki yang telah bersepakat berdasarkan nas alqur’an dan hadis Nabi bahawa taqdir dan kehendak Allah tidak dapat diubah dengan sesuatu apa pun, kerana perubahan itu menunjukkan sesuatu itu baharu sedangkan Allah dan sifat-sifat-Nya adalah azali, yakni tidak ada permulaan dan abadi yakni tidak ada pengakhiran, ertinya taqdir Allah tidak berubah.  Maka jelas di sini bahawa Takdir Allah tidak dapat diubah dengan doa mahu pun dengan amalan sedekah kerana takdir-Nya adalah bersifat azali dan abadi.  
Ada hadis menyebut
فلقد روى مسلم عن ثوبان عن رسول الله صلى الله عليه وسلم: "سألت ربِّي ثلاثًا فأعطاني ثنتين ومنعني واحدة" . وفي رواية: "قال لي يا محمد إني إذا قضيت قضاء فإنه لا يُردّ " .
Maknanya: “Aku meminta pada Tuhanku tiga perkara, maka dianugerahkan kepadaku dua dan tidak diberi kepadaku yang satu lagi. Dalam lafaz lain baginda berkata bahawa Allah berfirman Wahai Muhammad, apabila Aku telah menetapkan satu ketentuan maka ia tidak akan ditolak”.

Manakala mereka yang membaca doa tersebut tetapi menganggap bahawa jika Allah berkehendak di azali agar menyelamatkan kita dari musibah dan mala petaka serta diluaskan rezeki kepada kita dengan kita berdoa pada malam nisfu Syaaban, maka hal sedemikian tidak memudaratkan akidah, tetapi lafaz doa tersebut adalah salah. Berbeza dengan mereka yang menganggap Allah mengubah kehendak-Nya untuk mereka jika dibaca doa tersebut pada malam nisfu Syaaban, maka ini adalah terkeluar dari keimanan yang sebenar.
ANTARA SEJARAH YANG BERLAKU PADA BULAN SYAABAN ADALAH SEPERTI BERIKUT:
1-Difardhukan puasa ramadhan pada bulan syaaban pada tahun 2 hijrah.
2- Peringatan perperangan bani al-mustalaq pada bulan syaaban di tahun enam hijrah
3- Imam besar Ahli sunnah Wal jamaah iaitu Imam Abu Mansur al-Maturidi meninggal dunia pada tahun 330 hijrah di bulan Syaaban
4- Imam besar Ahli sunnah Wal jamaah iaitu imam Abu al-Hasan al-Asyaari meninggal pada tahun 324 hijrah.
Disediakan oleh: al-Faqir AHMAD FAIDZURRAHIM